Wednesday, July 25, 2012

Maut akibat Renjatan Elektrik


ALOR GAJAH: “Saya terdengar Muhamad Hanif menjerit meminta tolong sebelum badannya kejang serta berasap,” kata Mohd Faizudin Amir, 21, rakan remaja yang maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengendalikan mesin pembancuh simen pada hari pertama bekerja di sebuah tapak binaan di Solok Menggong, di sini, petang kelmarin.
Mohd Faizudin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, dia nekad menyelamatkan Muhamad Hanif Saidi, 20, dengan cuba menarik tubuh mangsa, tetapi dia juga terkena renjatan dan terpaksa melepaskan tubuh rakannya itu dan akhirnya mangsa meninggal dunia di pangkuannya.
Menurutnya, sebelum kejadian, Muhamad Hanif dari Felda Tun Ghaffar Solok Menggong, dilihat memegang pemegang mesin ketika cuba mengalihkan kedudukan mesin pembancuh simen itu untuk dibersihkan.

“Saya terdengar dia menjerit kuat dan apabila menoleh, saya lihat badannya menggigil dan bergetar. Saya turut sama terkena renjatan ketika cuba menyentap bahu Muhamad Hanif supaya genggamannya terlepas.

“Saya kemudian menjerit meminta seorang rakan mematikan suis utama. Saya rebah bersama arwah sebelum penyelia tapak datang memberi bantuan,” katanya.