Wednesday, March 9, 2011

80 peratus kemalangan industri babitkan IKS

80 peratus kemalangan industri babitkan IKS

2010/12/16
PUTRAJAYA: Kira-kira 80 peratus daripada kemalangan industri yang dicatatkan di negara ini membabitkan sektor industri kecil dan sederhana (IKS), kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Datuk Dr Johari Basri.

Bagi mengurangkan jumlah itu, beliau berkata kerajaan menyediakan pakej inisiatif baru bagi IKS iaitu "SME Compliance Support" bagi membantu IKS meningkatkan daya saing mereka melalui penerapan dan peningkatan tahap pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
"IKS ini kebanyakannya kurang tenaga dan kurang sumber, kalau kita pergi ke tempat mereka dan dapati tidak memenuhi syarat keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan kita saman atau ambil tindakan undang-undang, tutuplah syarikat mereka.
"Melalui inisiatif ini, kita akan bantu mereka untuk mengenal pasti langkah keselamatan yang boleh diambil dan tidak mahal bagi memastikan mereka boleh meningkatkan tahap keselamatan pekerja tanpa menjejaskan kedudukan kewangan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Johari berkata, inisiatif itu dilakukan melalui beberapa aktiviti iaitu Pintu-ke-Pintu, Perkhidmatan Promosi Bergerak IKS melalui enam unit van yang disediakan, dan "Umbrella Project", yang lebih tertumpu kepada penerangan dan khidmat nasihat melalui persatuan majikan.

Sehingga September lalu, sebanyak 42,657 kes kemalangan industri dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang membabitkan 876 kes kematian dan 11,366 kes hilang upaya kekal dengan 13,186 kes atau 30.9 peratus dicatatkan dalam industri pembuatan.

Johari berkata, 30 peratus daripada jumlah kemalangan itu berlaku ketika dalam perjalanan ulang-alik ke tempat kerja, terutama ketika pulang dari tempat kerja, dan kebanyakannya membabitkan mereka yang menaiki motosikal.
Smbil menyatakan trend itu semakin membimbangkan, beliau berkata kerjasama dengan agensi kerajaan termasuk PERKESO dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) diadakan.

"Ia bagi menjalankan kempen kesedaran dan latihan cara pemanduan berhemah bagi pekerja industri, selain memberi penerangan tentang aspek keselamatan," katanya. - BERNAMA

Kadar kemalangan di tempat kerja menurun

Kadar kemalangan di tempat kerja menurun

RAMAI orang tidak menyedari peri pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) sehingga kemalangan, kecederaan atau kematian berlaku. Terdapat juga pihak yang tidak mahu melabur atau berbelanja untuk keselamatan dan kesihatan di tempat kerja disebabkan oleh faktor kos.

Kejadian kemalangan atau penyakit dihadapi pekerja mencerminkan serba sedikit terdapat ketidaksempurnaan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan ia perlu diperbaiki.

Tanggungjawab keselamatan dan kesihatan pekerjaan atau OSH ini dipikul bersama oleh mereka yang mewujudkan sesuatu risiko (iaitu majikan) dan juga mereka yang perlu bekerja dengan risiko tersebut (iaitu pekerja).

Industri dan majikan harus menyedari tentang empat faktor utama dalam usaha untuk menguruskan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja iaitu tanggungjawab korporat; memenuhi kehendak sosial dan moral; prinsip dagangan yang baik dan keperluan perundangan.

Pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang cekap bukan sahaja mengurangkan risiko kepada keselamatan dan kesihatan tetapi juga memastikan pulangan yang tinggi kepada syarikat dan meningkatkan produktiviti.

Latihan dan pendidikan juga adalah elemen utama dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Majikan harus bersedia untuk melabur dalam keselamatan pekerjaan manakala pekerja harus bersedia untuk mengamalkannya.

Syarikat perlu menyediakan bajet tahunan untuk latihan keselamatan bagi membendung kemalangan berkaitan pekerjaan. Jelas bahawa aset yang paling berharga dalam sesebuah organisasi adalah mereka yang bekerja di dalamnya dan mereka yang menjayakannya.

Di Malaysia, kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah meningkat dari tahun ke tahun. Ramai majikan dan pekerja mengetahui peranan dan tanggungjawab dalam memastikan hazad di tempat kerja telah dikenal pasti, ditaksir dan dikawal.

Negara kita telah memperkenalkan pelbagai akta dan peraturan berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan dalam melindungi kebajikan tenaga kerja kita. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) telah diperkenalkan pada 1994 dan tertakluk kepada falsafah peraturan kendiri. Ini meletakkan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terhadap majikan mereka.

Semenjak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 diperkenalkan, bilangan kemalangan di tempat kerja telah menunjukkan penurunan yang signifikan. Merujuk kepada statistik yang dikumpulkan oleh Kementerian Sumber Manusia, bilangan kemalangan industri yang dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja untuk semua sektor telah berkurang daripada 99,413 pada 1995 kepada 35,092 pada 2008. Ini merupakan penurunan sebanyak 65 peratus dalam jangka masa melebihi 10 tahun.

Walaupun terdapat penurunan dalam purata bilangan kemalangan industri dari 17 dalam 1,000 orang pekerja pada tahun 1995 kepada 6.1 pada tahun 2008, kita harus berusaha untuk mencontohi negara membangun yang hanya mempunyai 3-4 kemalangan dalam 1,000 orang pekerja.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.

Tuesday, March 8, 2011

Disambar api dari engin pemotong rumput


Diminta sesiapa yang menggunakan mesin pemotong rumput berenjin dan di sandang di belakang badan, memeriksa semua "joints" and "connections" sebelum menggunakan mesin tersebut. Sememangnya malang tidak berbau; setelah di periksa bacalah doa sebelum memulakan kerja.

Behavior Safety vs Process Safety


Aku sering tertanya-tanya; apakah kaitan diantara dua masalah utama kesalamatan untuk process plant ini.

'Behavior Safety' adalah sesuatu yang berkenaan dengan keselamatan manusia atau pekerja di plant itu. Akibat terburuknya ialah kematian.

'Process Safety' adalah sesuatu yang berkenaan dengan keselamatan peralatan atau plant itu sendiri. Akibat dari kesilapan process safety akan menyebabkan letupan dan kemusnahan serta kerugian yang dashyat.

Bagi aku, Hubungan bagi kedua-dua cabang keselamatan ini adalah seperti di bawah. Kemalangan atau kemusnahan yang berlaku yang dianggap process safety adalah berpunca dari kesilapan manusia itu sendiri. Tidak kiralah samada kesilapan kejuruteraan, kesilapan keputusan yang di buat ataupun kesilapan dalam mematuhi prosedur yang telah ditetapkan...